Akademik
Jabatan Sains
Jabatan Sains merupakan salah satu jabatan akademik yang berperanan merancang, menyelaras dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains di MRSM. Jabatan ini terdiri daripada 4 unit utama iaitu Unit Biologi, Unit Fizik, Unit Kimia dan Unit Makmal yang bekerjasama dalam memastikan penyampaian ilmu sains dilaksanakan secara sistematik, berkualiti dan berkesan.
Jabatan Sains dianggotai oleh 11 orang guru yang terdiri daripada 4 orang guru kimia (termasuk seorang ketua jabatan), 4 orang guru fizik dan 3 orang guru biologi. Bermula tahun 2024, subjek sains teras menengah rendah telah dipecahkan kepada subjek Fizik, Kimia dan Biologi yang mana diajar oleh guru Fizik, Kimia dan Biologi masing-masing. Oleh itu, semua tingkatan telah didedahkan dengan subjek Fizik, Kimia dan Biologi bermula dari tingkatan 1 lagi.
Selain memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, Jabatan Sains turut aktif membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan guru serta pelajar. Pelbagai projek penyelidikan, inovasi, alat bantu mengajar dan reka cipta dihasilkan bagi menggalakkan pemikiran kreatif, kritis, kemahiran menyelesaikan masalah serta pengaplikasian ilmu sains dalam kehidupan sebenar. Jabatan Sains juga menyertai pelbagai pertandingan inovasi dalam bidang STEM yang dianjurkan oleh MARA, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi kategori guru dan pelajar.
Di samping itu, Jabatan Sains komited memperkaya pengetahuan dan pengalaman pelajar melalui penyertaan dalam pelbagai program pengayaan ilmu sains seperti Kuiz Kimia Kebangsaan, Kuiz Sains Kebangsaan (NSC) dan Malaysia Nuclear Science Olympiad (MyNSO). Jabatan ini juga aktif dalam pembangunan dan pertandingan robotik sebagai medium untuk meningkatkan kemahiran reka bentuk, pengaturcaraan, kejuruteraan dan kerja berpasukan.
Selaras dengan aspirasi pendidikan negara, Jabatan Sains menyasarkan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar, memperkukuh penguasaan kemahiran saintifik, memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Jabatan Sains menetapkan sasaran untuk memastikan semua pelajar mencapai kecemerlangan dalam mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dengan memperoleh gred A dalam peperiksaan SPM dan memastikan 90% pelajar lepasan SPM dari MRSM menyambung pelajaran dalam bidang STEM.